SEORANG SAHABAT beria-ia mencadangkan supaya aku buat satu blog.
Mungkin sebab dia seorang pemblog yang berjaya, maka dia nak aku ikut
jejak langkah dia. Tapi aku yakin aku tak akan berjaya macam dia. Mana
la aku mampu nak tarik pengikut sebanyak macam dia. Lagipun aku bukan
ada masa dan idea untuk dibebelkan di ruang ini.
BIASANYA aku
akan buat sesuatu mengikut perasaan. Rasa nak buat, aku buat aje. Lepas
tu baru pikir kenapa aku buat macam tu. Dan kalau perbuatan aku tu tak
mengikut landasan norma masyarakat, aku tak akan terus menyalahkan diri
sendiri, sebaliknya akan memerah otak untuk mendapatkan alasan yang
baik untuk menjawab soalan: "kenapa aku buat macam tu?"
AKU nak
buat lagi. Aku nak tulis blog ikut perasaan. Sesuka hati aje menulis,
tanpa menghiraukan mana-mana pihak. Namun, aku tak boleh buat. Sebab
aku tak ada perasaan nak buat. Untuk menimbulkan perasaan nak berblog,
maka aku pun cuba-cuba baca blog orang lain. Tercari-cari alasan yang
orang lain gunakan untuk menjawab soalan: "kenapa dia memblog?" Banyak,
sangat banyak blog yang menjadi rujukan aku. Rumusan yang aku dapat
buat, kebanyakan orang akan memblog untuk meluahkan isi hatinya,
menyuarakan ketidakpuasannya, memperkongsikan pendapatnya, berdakwah,
ada juga berdakyah, mempromosi perniagaannya, dan lain-lain.
SECARA
jujurnya aku nyatakan di sini, lebih daripada separuh lambakan blog
yang aku baca itu membuatkan aku terfikir, "kalaulah aku pemilik blog
ini, rasanya baik aku tak payah memblog." Manakan tidak, banyak blog
yang merupakan bebelan satu pihak. Bukan main bersungguh-sungguh sang
penulis blog membebel di dalam blognya, tapi yang sudi memberi komen
cuma seorang dua. Itu pun cuma nak buat lawak sambil-sambilan.
BLOG
yang berjaya menarik ramai pengikut biasanya mempunyai isu yang
tersendiri dan memang sangat sajak untuk dikongsikan dengan peminat isu
yang sama. Blog tentang bola sepak, memancing, melancong dan yang
seumpamanya pasti boleh menarik pengikut yang menggilai aktiviti yang
sama. Itulah sebabnya aku berani memerihalkan perenggan di atas.
Bebelan sebelah pihak yang tidak langsung menarik minat pihak lain
untuk menyertainya sudah tentu tidak akan diikuti oleh sesiapa. Siapa
nak kisahkan rungutan aku tentang kes kecurian seluar dalam di ampaian
yang aku alami?
MAKA aku memutuskan untuk fikir dulu puas-puas
sebelum memulakan akitiviti memblog. Akibat berfikir terlalu panjang,
maka aku hampir-hampir memutuskan untuk tidak menyertai aktiviti yang
pada pandangan aku tidak mendatangkan hasil ini, sama ada hasil bagi
aku mahupun hasil bagi orang lain. Begitu pun, aku masih teruskan
membelek-belek blog orang lain sama ada yang ramai pengikutnya mahupun
yang tak ada pengikut langsung. Terus tercari-cari alasan untuk mula
memblog.
AKHIRNYA aku jumpa juga satu alasan yang agak
munasabah. Pertimbangkan cerita ini... Suatu hari aku ke pasar mini
dengan niat untuk membeli susu jenama X yang biasa aku minum. Harganya
RM2.75 setin. Tak sempat memasukkan tin susu jenama X itu ke dalam
bakul, pandangan aku tertarik ke arah tin susu jenama Y yang disusun di
rak bawah susu jenama X. Harganya RM2.80 setin. Lebih mahal daripada
susu jenama X. Tetapi yang menariknya ialah susu jenama Y menawarkan
hadiah percuma seutas rantai kunci eksklusif dengan setiap pembelian
dua tin susu jenama Y.
FIKIRAN mula berbelah bagi. Selalu minum
susu jenama X. Tapi jenama Y pun takkan tak sedap langsung. Apa
salahnya berikan jenama Y satu peluang. Lagipun ada hadiah percuma
kalau beli dua. Apa salahnya beli dua tin. Kalau beli satu pun,
lama-lama habis juga, kena juga beli lagi satu.
KEPUTUSANNYA,
aku beli dua tin susu jenama Y. Walaupun mahal sikit, tapi dapat hadiah
percuma. Aku bawa pulang dua tin susu bersama dengan seutas rantai
kunci yang katanya eksklusif sangat itu beserta barang-barang lain. Aku
buka tin susu jenama Y dan mula membancuh Nescafe dengannya. Sedap,
sama macam susu jenama X. Kehidupan aku seterusnya berlalu seperti
biasa. Aku dah terlupa di mana aku letakkan rantai kunci percuma dengan
pembelian dua tin susu jenama Y. Aku tak memerlukan rantai kunci itu.
Sebab itu aku tak menghiraukannya. Cukuplah slip cukai jalan aku yang
merantai kunci-kunci aku.
CUMA, kalau dipersoalkan semula
'kenapa aku beli juga susu jenama Y sedangkan selama ini aku setia
minum susu jenama X malahan susu jenama Y lebih mahal daripada susu
jenama X?' Jawapannya, sebab ada hadiah percuma. Dan kalau dipersoalkan
lagi 'nak guna sangat ke rantai kunci percuma tu?' jawabnya 'TAK!'
AKU
sanggup beli susu jenama Y semata-mata sebab ada hadiah percuma.
Walaupun hadiah percuma itu aku tak nak guna pun, akhirnya hilang tanpa
disedari, namun hakikatnya ia tetap PERCUMA. Benda yang percuma mungkin
tak akan kita hargai. Kalau nak, ambil saja. Kalau tak nak, tak payah
buang pun tak mengapa. Dia boleh hilang sendiri. Kalau tak hilang pun,
tak akan menjejaskan apa-apa.
APA yang aku cuba maksudkan? Aku
cuma nak kata, aku jumpa satu alasan untuk mula memblog iaitu 'MEMBLOG
ADALAH PERCUMA'. Tak ada apa yang merugikan walaupun tulis sendiri,
baca sendiri, komen sendiri, puji sendiri, kutuk sendiri. Barang
percuma, sebat saja la. Kalau benda percuma ini berguna kepada diri
sendiri atau lebih-lebih lagi kepada masyarakat, itu adalah bonus yang
sangat besar.
MARILAH RAMAI-RAMAI KITA MEMBLOG...
Posted at 03:00 pm by cikguipp
Permalink